Andai doa mendahului takdir

Cinta dan rindu, keduanya adalah fitrah dalam diri manusia. Dia jadikan manusia berpasang-pasangan untuk kenal satu sama lain bersama menuju kepadanya kelak. Dihamparkan dunia seluasnya mengajar manusia erti jarak dan kemudian diajarkan manusia untuk berdoa agar manusia itu mendekatkan.

Takdir mendahului kita, sebelum kita ada ia sudah tercatat di luh mahfuz sama ada kita suka mahupun tidak. Tetapi manusia dikurniakan pilihan selagi mana ia masih berada di alam dunia, bebas memilih apa yang dia suka dan tidak. Islam datang kemudian membawa syariat yang mendekatkan insan dengan tuhan, mendekatkan jarak dua alam yang berlainan dengan hanya berdoa.

“Aku kira doa itu bahasa cinta dan rindu yang paling angkuh ketika takdir tidak lagi mampu menyatukan”

Jiwa manusia dihadirkan rasa rindu pada apa yang dirasakan selamat dan tenang, sifat kasih kepada sesuatu kadang kala mengatasi akal insan untuk bekorban demi mendapatkan apa jua yang diidamkan. Al-quran adalah panduan membawa manusia kepada tuhan, bukan sebagai beban, bukan juga sebagai pemanis lisan yang mana ia akan menjadikan manusia itu beriman.

Ada kala sesuatu yang dihajati tidak mampu dimiliki tetapi Allah tidak pernah menghampakan manusia dengan takdir yang telah tercipta kerana itu didatangkan doa sebagai harapan dan cita-cita agar manusia terasa ada pencipta yang mendengar apa yang dia minta serta menunaikan apa yang dipinta.

Jodoh merupakan anugerah Ilahi kepada hambanya tidak kira insan itu beriman ataupun sebaliknya. Ikhtiar dan usaha adalah proses perjalanan, takdir dan doa serta tawakal yang kuat mampu memberikan insan harapan agar merasa lebih tenang dalam mengharungi kehidupan.

Hakikatnya manusia inginkan ketenangan dengan jalan yang dirasakan itu adalah pilihan yang terbaik yang mampu diadakan olehnya bagi melakar satu lembaran kehidupan yang diimpikan. Seandainya doa mampu mengubah takdir yang telah diaturkan, mengapa perlu menunda proses berdoa selagi mana usia masih muda dan perjalanan masih panjang sesungguhnya jika benar takdir itu tidak dapat diubah, adakah kita tahu apa yang telah ditakdirkan?